Tembikar

on Khamis, 30 Ogos 2007


Tembikar merupakan salah satu hasil kraftangan tradisional yang diperbuat daripada tanah liat. Tembikar telah digunakan sejak zaman dahulu lagi untuk tujuan keperluan harian, upacara kematian, dan keagamaan seperti yang diamalkan oleh masyarakat peribumi di Sarawak. Zaman Neolitik merupakan zaman bermulanya penggunaan dan perkembangan tembikar. Bukti penemuan bahan-bahan artifak ini telah dijumpai di Kedah, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak.


Kegunaan Dulu


a)Alatan memasak

Manusia Zaman Batu Pertengahan iaitu Mesolitik atau dikenali sebagai Zaman Hoabinh wujud pada sekitar 11 000 tahun dahulu. Masyarakat zaman ini mula mencipta alat tembikar daripada tanah liat.
Masyarakat Zaman Mesolitik ini tinggal di gua batu kapur seperti Gua Niah di Sarawak, Gua Kepah di Kedah dan Gua Kecil di Pahang. Masyarakat ini juga tinggal di kawasan tepi laut seperti Jenderam Hilir di Selangor. Masyarakat pada zaman ini menukar barangan tembikar sebagai salah satu kegiatan harian mereka.

Pada Zaman Neolitik yang wujud kira-kira 5 000 tahun dahulu, orang Neolitik mengalami cara hidup yang lebih teratur. Petempatan orang Neolitik yang penting ialah Gua Cha dan Gua Menteri di Kelantan, Gua Kelawar di Perak, Bukit Tengkorak di Sabah, dan Gua Bukit Tenku Lembu di Perlis. Pada zaman ini terciptanya alat-alat tembikar seperti periuk, belanga dan bekas air yang dihiasai ukiran.
Masyarakat Neolitik menggunakan alat-alat daripada tembikar di dalam kehidupan seharian mereka. Penyelidikan ilmiah telah dibuat oleh ahli kaji purba di beberapa tempat di Pahang Darul Makmur seperti Kota Tongkat di Jerantut, Gua Kecil di Raub, Sungai Selinsing, Sungai Tembeling dan beberapa tempat lagi di sepanjang Sungai Pahang.
Ahli kaji purba menyatakan manusia zaman batu pertengahan mendiami negeri Pahang Darul Makmur dan tinggal di gua batu dan gunung-ganang. Manusia zaman batu adalah kumpulan yang mula-mula datang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Tanah Besar Benua Asia.
Manusia Melayu Proto mendiami Semenanjung Malaysia dan pulau Nusantara dalam lingkungan 3 000 atau 2 000 tahun sebelum Masehi. Serpihan tembikar yang dipercayai oleh ahli sejarah digunakan sebagai alatan memasak masyarakat pada zaman itu telah ditemui di kawasan ini.

b) Ritual atau Keagamaan

Seramik terawal yang dijumpai dan digali di bahagian barat mulut Gua Niah. Seramik-seramik ini berupa tempayan atau bekas yang tidak berukir, botol dan bekas yang berbentuk bundar. Kesemua barangan tembikar ini kasar buatannya, diperbuat menggunakan tangan, keras dan dibakar dengan api sederhana.


Menurut kajian oleh Barbarra Harrison, kebanyakan bekas seramik ini ada kaitan dengan upacara pengebumian Neolitik iaitu sebagai bekas untuk pembakaran mayat ataupun sebagai cenderamata pengebumian. Adalah menjadi tradisi lama komuniti Melanau sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia, simati akan diberikan pakaian dan dibaringkan di ruangan rumah. Satu pinggan biru dan putih diletak di bawah kepalanya, sementara pinggan seramik diletakkan di bawah kedua-dua tangan dan kakinya. Berhampiran dengan si mati diletakkan objek-objek tembaga dan seutas manik purba diikat pada pergelangan tangan mayat.
Beberapa hari kemudian, mayat tersebut dibawa keluar daripada rumah itu dan disimpan di ruang khas untuk jangkamasa yang minimum dalam tahun yang sama. Kemudian tulang-tulangnya dikumpulkan ke dalam sebuah tempayan besar. Manakala yang lain seperti pinggan, mangkuk dan manik dikebumikan bersama-sama dengan tempayan tersebut. Kesemua artifak hasil penggalian merupakan sumber pembelajaran yang amat berguna di Muzium Sarawak. Artifak-artifak tersebut diklasifikasikan kepada 9 kelas utama berdasarkan warna sepuh/glasir dan teksturnya.

c) Candi

Candi Bukit Batu Pahat yang terletak di sungai Merbok Kecil di Sungai Petani, Kedah. Usaha cari gali iini dilakukan oleh Dr. Lamb, beliau menemui enam buah cepu batu granit. Dalam tiap-tiap cepu terdapat 9 lubang untuk mengisi benda-benda kecil.Dr. Lamb berpendapat pemujaan di situ adalah jenis pemujaan tempatan. Walaupun tidak boleh ditentukan sama ada cembul tembaga yang terdapat dilubang tengah sebuah cepu dari candi itu sebenarnya mengandungi sisa-sisa manusia, kesan-kesan organik telah dijumpai melekat pada permukan bawah cembul. Ada kemungkinan cepu itu adalah bekas untuk menyimpan cepu-cepu batu granit yang ada di sana itu ada kaitannya dengan adat istiadat pemakaman tempatan. Dari segi seni bina, granit yang berlubang di tengah-tengahnya adalah tapak-tapak untuk meletakkan tiang-tiang kayu.

Di Candi Bukit Batu Pahat tidak kurang daripada 66 tapak tiang kayu dijumpai. Walaupun sekarang tidak dapat lihat tiang kayu serta bumbungnya tetapi susunan tapak-tapak tiang yang terdapat memberi gambaran tentang bentuk bumbungnya. Data-data yang kita perolehi inilah tidak boleh dibawa pulang ke muzium.

d) Perhiasan diri

anting-anting

Pada Zaman Batu Baru (Neolitik) yang wujud 5 000 tahun dahulu, mereka mula membuat alat perhiasan diri seperti gelang tangan. Petempatan orang Neolitik yang penting ialah Gua Cha dan Gua Menteri di Kelantan, Gua Kelawar di Perak, Bukit Tengkorak di Sabah, dan Gua Bukit Tenku Lembu di Perlis.


Kegunaan Sekarang


a) Aksesori fesyen dan hiasan

Pemakaian gelang tangan dan rantai manik yang diperbuat dari tanah liat. Aksesori manik tembikar ini memberikan suatu impak menarik kepada si pemakai. Rantai kunci dan tanglung yang diperbuat dari tembikar juga menjadi pilihan menarik masa kini.

b) Ikon hiasan dalaman


Penggunaan tembikar sebagai salah satu ikon hiasan dalaman yang semakin digemari. Hiasan tembikar yang diubahsuai ini menghiasi sudut rumah, dinding pejabat dan dijadikan sebagai lampu selia dan lampu tidur.








Sumber-sumber lain:

http://www.museum.sarawak.gov.my

http://www.jma.gov.my

http://www.members:tripodasia.com.my

http://www.archeology.com.my

http://www.anjungseri.com.my

http://www.virtualmalaysia.com


Solan Percubaan Pendidikan seni Visual SPM 2007

KERTAS 2: SENI HALUS

1. Setelah melalui cabaran dan dugaan yang hebat serta berbekalkan peralatan-peralatan mendaki gunung akhirnya pendaki-pendaki Gunung Everest dari Malaysia berjaya dalam ekspedisi ke puncak gunung tersebut. Tunjukkan ekspresi kegembiraan kejayaan mereka itu. Lukiskan suasana ini dengan penekanan kepada ruang, jalinan serta ekspresi pada wajah pendaki-pendaki ini.

2.Berikutan hujan lebat yang kerap turun, kejadian banjir lumpur seringkali terjadi. Tunjukkan satu keadaan yang sangat mencemaskan sewaktu banjir lumpur ini melanda sebuah penempatan penduduk. Lukiskan pemandangan ini dengan penekanan kepada bentuk dan jalinan.

3. Anda bersama rakan telah berjaya menjejakkan kaki di sebuah planet yang menakjubkan. Keadaan langit di planet itu berwarna ungu kemerahan manakala permukaannya dipenuhi dengan bukit-bukit kristal yang berwarna warni. Terdapat juga pelbagai tumbuhan seperti pokok palma yang pelik di situ. Lukiskan suasana yang menghayat hati dengan memberi penekanan kepada jalinan dan ruang.

4. Dalam tahun 2065 berlaku peperangan yang amat dahsyat sehingga memusnahkan sebahagian besar muka bumi. Penduduk dunia dalam keadaan ketakutan dan huru-hara. Kerosakan dan kemusnahan harta benda dengan kebakaran di sana- sini. Mayat bergelimpangan bercampur baur dengan bangkai binatang yang mati hangus terbakar. Lukiskan suasana yang menyayat hati dengan memberikan penekanan kepada jalinan dan ruang.

5. Di suatu hari yang cerah dan berangin, kelihatan pemandangan di sebuah sawah padi yang luas terbentang. Warna padi yang mula menguning dan burung-burung yang berterbangan riang dan hinggap pada orang-orangan menambahkan lagi keindahan suasana ini. Lukiskan pemandangan ini dari jarak dekat dengan memfokuskan kepada orang-orangan dan burung-burung itu.

6. Di sebatang anak sungai yang mengalir lesu kelihatan pelbagai jenis kotoran yang mencemari sungai itu. Air yang keruh, sampah sarap dan bahan-bahan lain merosakkan lagi pemandangan sedia ada. Tumbuhan-tumbuhan di sekitarnya juga tidak subur dan mati. Lukiskan suasana ini dengan memberi penekanan kepada pengwujudan ruang hadapan, tengah dan belakang.

Landskap Ciptaan Allah

on Selasa, 28 Ogos 2007



Keindahan dalam laut...







Kasih sayang tidak mengenal bangsa dan keturunan







Kepelbagaian landskap membuktikan Allah Maha Agong.

Makhluk ciptaan Allah sentiasa dipelihara dan diperhatikan setiap saat dan ketika.



Fenomena empat musim yang dijadikan oleh Allah menandakan bahawa, Allahlah pentadbir alam ini.

Setiap sesuatu yang Allah jadikan ada tujuan dan fungsinya yang tersendiri yang hanya sedikit sahaja diketahui oleh manusia




Jutaan ikan di dalam laut menjadi penghias laut yang diciptakan oleh Allah.




Kejadian malam dan siang adalah bukti keagungan Allah.
Air adalah nadi kehidupan di dunia ini, 2/3 daripada dunia ini adalah air yang dijadikan oleh Alllah untuk kegunaan makhluk ciptaannya.
Gunung merupakan pasak-pasak bumi yang dijadikan oleh Allah untuk mengimbangi putaran bumi supaya menjadi seimbang.
Pokok-pokok renek dikawasan sejuk gunung Irau ini diselaputi lumut-lumut menandakan keagongan Allah yang tiada tandingannya.
Unsur warna kontra dan ton warna yang membangkitkan rasa ketakjuban kepada Allah pencipta alam.
Rumput-rumput, pokok-pokok dan batuan membentuk kesatuan yang damai.

Hiasan Dalaman

on Isnin, 27 Ogos 2007

Ruang makan kena praktikal
Oleh Hamidon Abdullah



RUANG makan adalah antara pusat pertemuan di dalam rumah selain ruang tamu dan ruang keluarga. Ruang makan biasanya terletak di antara ruang tamu dan dapur. Ia menjadi pertemuan apabila tetamu dan keluarga ingin menjamu hidangan.


Ruang makan boleh didefinisikan sebagai suatu ruang yang sebahagiannya terpisah dari dapur dan ruang di mana keluarga dan tetamu bertemu untuk menikmati hidangan dan hiburan bersama. Oleh itu adalah penting ruang makan dirancang supaya kelihatan menarik, dalam suasana mesra dan lebih penting mestilah praktikal ketika menyediakan makanan dan minuman.


Dua jenis ruang makan: Ruang makan terbukaRuang makan terbuka ini membolehkan aktiviti menjamu hidangan digabungkan bersama dengan aktiviti memasak. Oleh itu ruang dapur tidak terpisah dengan ruang makan. Susun atur perabot meja makan berbentuk kaunter atau berbentuk biasa digabung bersama kaunter memasak di bahagian ruang dapur.


Ruang terbuka sesuai digunakan pada ruang terhad seperti rumah apartmen atau rumah yang mempunyai ruang makan terhad. Gaya ini bagaimanapun mula digunakan bagi kediaman kondominium mewah kerana aktiviti memasak tidak perlu disembunyi dan perlu diadakan secara terbuka. Bagaimanapun sistem ruang makan terbuka memerlukan sistem sedutan udara baik dan peralatan dapur yang bersih dan kemas.


Ruang makan terpisah Ruang makan terpisah ini bermaksud terletak berasingan dari ruang lain terutama ruang dapur. Bagi kediaman yang besar dan mewah, ruang makan utama dikhususkan untuk majlis makan rasmi bagi tetamu istimewa. Ruang makan ini di hiasi mengikut kedudukan dan kemewahan mereka sedangkan bagi menikmati hidangan harian, ruang makan sederhana disediakan di bahagian lain.


Ada juga ruang makan yang sederhana terletak di dapur kering bagi menikmati sarapan pagi.

Ruang makan sarapan ini sesuai bagi mereka yang tidak memerlukan ruang makan yang besar kerana bilangan ahli keluarga sederhana dan mudah dikemas Ruang makan semestinya mengandungi satu meja dan beberapa kerusi yang boleh menampung untuk kegunaan keluarga dan tetamu duduk dan menikmati hidangan dan minuman.


Dalam melaksanakan tugas sebagai ruang makan beberapa panduan seperti ini perlu diambil perhatian; Meja bulat sesuai bagi menggalakkan suasana makan yang harmoni dalam keadaan yang mudah untuk bersosial. Susunan bulat akan menyebabkan sesiapa pun tidak tertinggal atau terpinggir, cuma bentuk meja makan bulat agak terhad dari segi bilangan kerana lagi besar bilangan lagi besar ruang yang diperlukan. Bilangan tempat duduk sekitar 8 - 10 orang adalah bilangan maksimum yang paling sesuai.


Jika memang memerlukan bilangan yang ramai mungkin boleh mencadangkan meja berbentuk bujur oval yang boleh dipanjangkan. Ruang makan terhad bukan alasan untuk pengguna ruang makan tidak berupaya menerima bilangan tetamu yang ramai kerana sistem meja makan lipat dan memanjang adalah yang paling sesuai dan praktikal. Pilih kerusi atau tempat duduk selesa, pilihan perlulah menepati kehendak keperluan antropometrik dan ergonomik saiz manusia. Pilihan saiz yang tepat membenarkan pengguna duduk tanpa berlaga lutut dan siku.


Selain daripada itu fikirkan juga saiz ruang yang diperlukan untuk menolak dan menarik kerusi ke belakang tanpa melanggar antara satu sama lain atau bahagian dinding dan perabot. Jika keluasan ruang membenarkan, sediakan ruang untuk penyediaan makanan dan mestilah terletak berdekatan dengan pintu atau lorong ke dapur. Troli mudah alih sesuai digunakan jika sukar untuk menyedia ruang penyediaan makanan.


Rancang ruang penyimpanan barang untuk penyediaan makanan dan minuman. Bagi mengelak dilihat, bina tempat penyimpanan secara bina kekal atau perabot konsol diletak berdekatan ruang makan bagi memudah untuk dikeluarkan apabila hendak digunakan. Meja empat segi sesuai digunakan dalam suasana makan secara terkawal dan lebih sopan selain penggunaan ruang juga boleh dirancang dan tidak memberi kesan ketara pada keseluruhan ruang makan. Cermin boleh digunakan sebagai nilai tambah pada ruang makan kerana kesan pembalikan memberi kesan keluasan ruang dari pandangan visual. Selain daripada itu sebagai penyeri dan penarik selera kerana refleksi cahaya lampu menerangi ruang dan refleksi ruang yang cerah akan membangkitkan selera.


FAKTA:


Pemilihan warna penting di ruang makan. Pilihan warna yang sekata akan memberi kesatuan pada ruang makan. Pilih warna panas (warna merah) secara psikologi boleh membangkit selera dan menceriakan ruang.


Jika ruang makan mempunyai fungsi berbeza seperti ruang makan dan ruang bekerja atau belajar, sediakan skrin, langsir atau pemidang yang boleh mengasingkan ruang kepada dua setiap satu dengan fungsi masing-masing.


Penggunaan cahaya memainkan peranan penting dalam ruang makan. Jika boleh dapatkan cahaya semula jadi memasuki ruang makan, jalinkan ruang makan kepada persekitaran luar dengan tumbuh-tumbuhan segar, landskap menarik, desiran air dan adakan aktiviti luar sebagai membakar barbeque di patio atau di dek kayu dan sambil duduk makan di ruang makan.
Adakan bukaan yang luas pada ruang makan supaya tetamu dapat menikmati persekitaran yang menarik dan ventilasi udara yang selesa kerana ini semua menyumbangkan keselesaan untuk menikmati hidangan tanpa ada bau yang kurang menyenangkan.


Pemilihan aksesori dan hiasan yang menarik dapat menambah seri kepada ruang makan. Aksesori mestilah tidak mematikan selera makan, bersih tidak berbau dan tidak melambang kesedihan. Gambar kejayaan dan kegembiraan keluarga, lukisan dan gambar alam semula jadi, suasana ceria amat sesuai diletak di kabinet, meja dan pada dinding.


Pilihan lampu yang menarik dan disesuaikan dengan susun atur perabot. Susunan lampu siling dan lampu dinding hendaklah diselaras bagi memberi kesan yang dramatik dan tidak menyilaukan mata.


Ruang makan adalah pelengkap ruang sosial dalam rumah kediaman. Ruang makan perlu sama hebat dengan ruang tamu kerana ruang ini selain digunakan untuk menjamu tetamu dan keluarga, ruang makan juga digunakan untuk berunding dan berbincang. Jadikan ruang makan antara ruang yang menjadi pilihan anda dan sentiasa menyeronokkan


Sumber : Berita harian online

Hiasan Laman

Menara bunga konsep baru seni landskap
Oleh Norakmah Mat Youb.


MENARA bunga ini boleh dialihkan jika sudah jemu.BOSAN dengan rekaan konvensional taman yang banyak menggunakan deretan pasu bunga atau kotak tanaman disusun secara memanjang dan melintang? Kini terdapat satu konsep baru dalam industri landskap iaitu menara bunga urban oasis.


Pengarah Urusan Urban Oasis Landscape, Sean Su, berkata, Menara Bunga Urban Oasis ini adalah trend terbaru yang semakin mendapat permintaan tinggi kerana reka bentuknya ringkas, mempunyai tarikan tersendiri tanpa memerlukan ruang banyak.“Menara ini mempunyai beberapa lapisan bunga yang disusun secara bertingkat-tingkat mengikut permintaan pelanggan dan juga tempat ia diletakkan. Ia boleh dibina setinggi satu meter, 1.2 meter atau 1.6 meter.“Jika ada permintaan untuk ketinggiannya kita boleh lakukan dengan hanya menambah besi khas di setiap lapisan bunga bagi menahannya daripada terjatuh.


Seeloknya jenis tanaman yang dipilih ialah yang berbunga lebat dan bermusim,” katanya.Beliau berkata, membina menara ini sangat mudah. Cara penanaman boleh dilakukan dengan mengisi tanah ke dalam menara dan tanam pokok bunga terus ke dalam tanah. Selain itu, pokok bunga boleh disusun tanpa mengisi tanah ke dalam menara jika ditanam dalam pasu.


“Bunga dalam pasu boleh disusun keliling menara bertingkat tanpa jatuh ke bawah. Pokok yang digunakan seelok-eloknya ialah pokok semusim yang boleh hidup selama satu hingga dua bulan terpulang kepada jenisnya,” katanya.Beliau berkata, Menara Bunga Urban Oasis yang boleh dibina enam hingga 10 lapis ini sangat sesuai sama ada untuk kegunaan luar ataupun dalam kerana ia mudah dialihkan dan setiap lapisan boleh diatur dalam pelbagai konsep dan berbeza reka bentuk.“Untuk membina taman ini, apa yang perlu dilakukan ialah memilih tumbuhan berbunga dan campuran tanah yang betul. Ia senang dan penyelenggaraan sangat mudah tidak seperti membina taman jenis lain.


“Struktur menara ini direka ringkas untuk memudahkan kerja pengalihan jika sudah bosan dengan sesuatu tempat. Ia boleh dibina dan disusun sepanjang jalan bagi sesuatu perayaan atau majlis istimewa,” katanya.Beliau berkata, walaupun menara itu sudah siap dibina, ia masih boleh dialihkan menggunakan kren kecil jika sudah jemu. Cara menyiramnya pula sama seperti pokok lain iaitu dari bahagian atas dan air akan mengalir ke bawah.


“Pembinaan menara ini sangat menjimatkan kerana selain memerlukan ruang yang kecil ia juga hanya menggunakan sedikit pokok iaitu kira-kira 120 hingga 180 pokok untuk memenuhkan menara bergantung tahap ketinggiannya,” katanya.Beliau berkata, antara pokok yang disyorkan untuk menara ini ialah dari jenis tumbuhan tropika, tumbuhan memanjat dan tumbuhan bermusim seperti orkid, Marigold, Zinnia, Petunia, Chrysanthemum dan Ixora yang mempunyai warna sangat menarik.


Sumber: Berita harian Online