Hiasan Laman

on Isnin, 27 Ogos 2007

Menara bunga konsep baru seni landskap
Oleh Norakmah Mat Youb.


MENARA bunga ini boleh dialihkan jika sudah jemu.BOSAN dengan rekaan konvensional taman yang banyak menggunakan deretan pasu bunga atau kotak tanaman disusun secara memanjang dan melintang? Kini terdapat satu konsep baru dalam industri landskap iaitu menara bunga urban oasis.


Pengarah Urusan Urban Oasis Landscape, Sean Su, berkata, Menara Bunga Urban Oasis ini adalah trend terbaru yang semakin mendapat permintaan tinggi kerana reka bentuknya ringkas, mempunyai tarikan tersendiri tanpa memerlukan ruang banyak.“Menara ini mempunyai beberapa lapisan bunga yang disusun secara bertingkat-tingkat mengikut permintaan pelanggan dan juga tempat ia diletakkan. Ia boleh dibina setinggi satu meter, 1.2 meter atau 1.6 meter.“Jika ada permintaan untuk ketinggiannya kita boleh lakukan dengan hanya menambah besi khas di setiap lapisan bunga bagi menahannya daripada terjatuh.


Seeloknya jenis tanaman yang dipilih ialah yang berbunga lebat dan bermusim,” katanya.Beliau berkata, membina menara ini sangat mudah. Cara penanaman boleh dilakukan dengan mengisi tanah ke dalam menara dan tanam pokok bunga terus ke dalam tanah. Selain itu, pokok bunga boleh disusun tanpa mengisi tanah ke dalam menara jika ditanam dalam pasu.


“Bunga dalam pasu boleh disusun keliling menara bertingkat tanpa jatuh ke bawah. Pokok yang digunakan seelok-eloknya ialah pokok semusim yang boleh hidup selama satu hingga dua bulan terpulang kepada jenisnya,” katanya.Beliau berkata, Menara Bunga Urban Oasis yang boleh dibina enam hingga 10 lapis ini sangat sesuai sama ada untuk kegunaan luar ataupun dalam kerana ia mudah dialihkan dan setiap lapisan boleh diatur dalam pelbagai konsep dan berbeza reka bentuk.“Untuk membina taman ini, apa yang perlu dilakukan ialah memilih tumbuhan berbunga dan campuran tanah yang betul. Ia senang dan penyelenggaraan sangat mudah tidak seperti membina taman jenis lain.


“Struktur menara ini direka ringkas untuk memudahkan kerja pengalihan jika sudah bosan dengan sesuatu tempat. Ia boleh dibina dan disusun sepanjang jalan bagi sesuatu perayaan atau majlis istimewa,” katanya.Beliau berkata, walaupun menara itu sudah siap dibina, ia masih boleh dialihkan menggunakan kren kecil jika sudah jemu. Cara menyiramnya pula sama seperti pokok lain iaitu dari bahagian atas dan air akan mengalir ke bawah.


“Pembinaan menara ini sangat menjimatkan kerana selain memerlukan ruang yang kecil ia juga hanya menggunakan sedikit pokok iaitu kira-kira 120 hingga 180 pokok untuk memenuhkan menara bergantung tahap ketinggiannya,” katanya.Beliau berkata, antara pokok yang disyorkan untuk menara ini ialah dari jenis tumbuhan tropika, tumbuhan memanjat dan tumbuhan bermusim seperti orkid, Marigold, Zinnia, Petunia, Chrysanthemum dan Ixora yang mempunyai warna sangat menarik.


Sumber: Berita harian Online

0 ulasan: