Hiasan Dalaman

on Isnin, 27 Ogos 2007

Ruang makan kena praktikal
Oleh Hamidon Abdullah



RUANG makan adalah antara pusat pertemuan di dalam rumah selain ruang tamu dan ruang keluarga. Ruang makan biasanya terletak di antara ruang tamu dan dapur. Ia menjadi pertemuan apabila tetamu dan keluarga ingin menjamu hidangan.


Ruang makan boleh didefinisikan sebagai suatu ruang yang sebahagiannya terpisah dari dapur dan ruang di mana keluarga dan tetamu bertemu untuk menikmati hidangan dan hiburan bersama. Oleh itu adalah penting ruang makan dirancang supaya kelihatan menarik, dalam suasana mesra dan lebih penting mestilah praktikal ketika menyediakan makanan dan minuman.


Dua jenis ruang makan: Ruang makan terbukaRuang makan terbuka ini membolehkan aktiviti menjamu hidangan digabungkan bersama dengan aktiviti memasak. Oleh itu ruang dapur tidak terpisah dengan ruang makan. Susun atur perabot meja makan berbentuk kaunter atau berbentuk biasa digabung bersama kaunter memasak di bahagian ruang dapur.


Ruang terbuka sesuai digunakan pada ruang terhad seperti rumah apartmen atau rumah yang mempunyai ruang makan terhad. Gaya ini bagaimanapun mula digunakan bagi kediaman kondominium mewah kerana aktiviti memasak tidak perlu disembunyi dan perlu diadakan secara terbuka. Bagaimanapun sistem ruang makan terbuka memerlukan sistem sedutan udara baik dan peralatan dapur yang bersih dan kemas.


Ruang makan terpisah Ruang makan terpisah ini bermaksud terletak berasingan dari ruang lain terutama ruang dapur. Bagi kediaman yang besar dan mewah, ruang makan utama dikhususkan untuk majlis makan rasmi bagi tetamu istimewa. Ruang makan ini di hiasi mengikut kedudukan dan kemewahan mereka sedangkan bagi menikmati hidangan harian, ruang makan sederhana disediakan di bahagian lain.


Ada juga ruang makan yang sederhana terletak di dapur kering bagi menikmati sarapan pagi.

Ruang makan sarapan ini sesuai bagi mereka yang tidak memerlukan ruang makan yang besar kerana bilangan ahli keluarga sederhana dan mudah dikemas Ruang makan semestinya mengandungi satu meja dan beberapa kerusi yang boleh menampung untuk kegunaan keluarga dan tetamu duduk dan menikmati hidangan dan minuman.


Dalam melaksanakan tugas sebagai ruang makan beberapa panduan seperti ini perlu diambil perhatian; Meja bulat sesuai bagi menggalakkan suasana makan yang harmoni dalam keadaan yang mudah untuk bersosial. Susunan bulat akan menyebabkan sesiapa pun tidak tertinggal atau terpinggir, cuma bentuk meja makan bulat agak terhad dari segi bilangan kerana lagi besar bilangan lagi besar ruang yang diperlukan. Bilangan tempat duduk sekitar 8 - 10 orang adalah bilangan maksimum yang paling sesuai.


Jika memang memerlukan bilangan yang ramai mungkin boleh mencadangkan meja berbentuk bujur oval yang boleh dipanjangkan. Ruang makan terhad bukan alasan untuk pengguna ruang makan tidak berupaya menerima bilangan tetamu yang ramai kerana sistem meja makan lipat dan memanjang adalah yang paling sesuai dan praktikal. Pilih kerusi atau tempat duduk selesa, pilihan perlulah menepati kehendak keperluan antropometrik dan ergonomik saiz manusia. Pilihan saiz yang tepat membenarkan pengguna duduk tanpa berlaga lutut dan siku.


Selain daripada itu fikirkan juga saiz ruang yang diperlukan untuk menolak dan menarik kerusi ke belakang tanpa melanggar antara satu sama lain atau bahagian dinding dan perabot. Jika keluasan ruang membenarkan, sediakan ruang untuk penyediaan makanan dan mestilah terletak berdekatan dengan pintu atau lorong ke dapur. Troli mudah alih sesuai digunakan jika sukar untuk menyedia ruang penyediaan makanan.


Rancang ruang penyimpanan barang untuk penyediaan makanan dan minuman. Bagi mengelak dilihat, bina tempat penyimpanan secara bina kekal atau perabot konsol diletak berdekatan ruang makan bagi memudah untuk dikeluarkan apabila hendak digunakan. Meja empat segi sesuai digunakan dalam suasana makan secara terkawal dan lebih sopan selain penggunaan ruang juga boleh dirancang dan tidak memberi kesan ketara pada keseluruhan ruang makan. Cermin boleh digunakan sebagai nilai tambah pada ruang makan kerana kesan pembalikan memberi kesan keluasan ruang dari pandangan visual. Selain daripada itu sebagai penyeri dan penarik selera kerana refleksi cahaya lampu menerangi ruang dan refleksi ruang yang cerah akan membangkitkan selera.


FAKTA:


Pemilihan warna penting di ruang makan. Pilihan warna yang sekata akan memberi kesatuan pada ruang makan. Pilih warna panas (warna merah) secara psikologi boleh membangkit selera dan menceriakan ruang.


Jika ruang makan mempunyai fungsi berbeza seperti ruang makan dan ruang bekerja atau belajar, sediakan skrin, langsir atau pemidang yang boleh mengasingkan ruang kepada dua setiap satu dengan fungsi masing-masing.


Penggunaan cahaya memainkan peranan penting dalam ruang makan. Jika boleh dapatkan cahaya semula jadi memasuki ruang makan, jalinkan ruang makan kepada persekitaran luar dengan tumbuh-tumbuhan segar, landskap menarik, desiran air dan adakan aktiviti luar sebagai membakar barbeque di patio atau di dek kayu dan sambil duduk makan di ruang makan.
Adakan bukaan yang luas pada ruang makan supaya tetamu dapat menikmati persekitaran yang menarik dan ventilasi udara yang selesa kerana ini semua menyumbangkan keselesaan untuk menikmati hidangan tanpa ada bau yang kurang menyenangkan.


Pemilihan aksesori dan hiasan yang menarik dapat menambah seri kepada ruang makan. Aksesori mestilah tidak mematikan selera makan, bersih tidak berbau dan tidak melambang kesedihan. Gambar kejayaan dan kegembiraan keluarga, lukisan dan gambar alam semula jadi, suasana ceria amat sesuai diletak di kabinet, meja dan pada dinding.


Pilihan lampu yang menarik dan disesuaikan dengan susun atur perabot. Susunan lampu siling dan lampu dinding hendaklah diselaras bagi memberi kesan yang dramatik dan tidak menyilaukan mata.


Ruang makan adalah pelengkap ruang sosial dalam rumah kediaman. Ruang makan perlu sama hebat dengan ruang tamu kerana ruang ini selain digunakan untuk menjamu tetamu dan keluarga, ruang makan juga digunakan untuk berunding dan berbincang. Jadikan ruang makan antara ruang yang menjadi pilihan anda dan sentiasa menyeronokkan


Sumber : Berita harian online

0 ulasan: